
PETALING JAYA, 12 Ogos — The Chicken Rice Shop (TCRS) meraikan ulang tahun ke-26 dengan memperkenalkan pembaharuan jenama di seluruh negara, termasuk penampilan baharu maskot, rekaan seragam kakitangan serta menu bercetak yang dikemas kini.
- Memperkenalkan hidangan baharu dan produk berjenama, termasuk Sambal Chilli Crunch; nasi ayam kekal sebagai teras.
- Mengukuhkan komitmen CSR dengan menaja lebih 7,000 hidangan setiap tahun kepada rumah anak yatim dan pertubuhan kebajikan.
- Ketersediaan meluas menerusi lebih 160 cawangan dan kempen Merdeka, termasuk Kombo Merdeka pada harga RM16.90.
Pembaharuan itu turut disusuli pengenalan beberapa pilihan hidangan baharu dan rangkaian produk berjenama yang lebih luas, termasuk Sambal Chilli Crunch keluaran TCRS, selaras dengan perkembangan jenama berkenaan yang kini menawarkan lebih daripada hidangan nasi ayam.
Walaupun nasi ayam kekal sebagai hidangan teras, TCRS terus memperluas pilihan menunya menerusi hidangan seperti Boneless Crispy Roast Chicken, Strawberry Kunafa Pai Tee, BBQ Chicken Mayo Pai Tee dan Cakoi with Pandan Gula Melaka.
Timbalan Pengurus Besar The Chicken Rice Shop Restaurants Sdn. Bhd., Jane Wong berkata, sambutan ulang tahun berkenaan sebagai tanda perkembangan jenama itu selepas 26 tahun beroperasi, selain membuka ruang untuk menawarkan lebih banyak pengalaman baharu kepada pelanggan.

“Sejak 26 tahun lalu, The Chicken Rice Shop telah menjadi sebahagian daripada pelbagai detik bermakna dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, dan kami amat menghargai sokongan yang terus diberikan kepada kami.
“Pembaharuan ini bukan sekadar menampilkan wajah baharu TCRS, malah turut menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa masih banyak lagi yang boleh diterokai bersama kami, daripada hidangan baharu hinggalah cara baharu untuk menikmati cita rasa kegemaran kami di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, TCRS terus memperkukuh komitmennya terhadap masyarakat menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), termasuk menaja lebih 7,000 hidangan setiap tahun kepada rumah anak yatim, pertubuhan kebajikan dan pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Sejak membuka restoran pertamanya pada 2000, TCRS kini berkembang dengan lebih 160 cawangan di seluruh negara dan terus memperluas rangkaiannya ke pusat beli-belah kejiranan, pasar raya besar serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Langkah itu bertujuan memastikan hidangan TCRS pada harga berpatutan lebih mudah dinikmati rakyat Malaysia, sama ada di kawasan kediaman, ketika membeli-belah atau dalam perjalanan.
Bersempena sambutan ulang tahun dan Bulan Kebangsaan, TCRS turut melancarkan kempen Merdeka yang berlangsung sehingga 20 September 2026.
Kempen itu menawarkan Kombo Merdeka pada harga RM16.90, terdiri daripada satu hidangan ayam dengan pilihan kukus, panggang atau kicap, nasi ayam, pilihan keropok kekor atau rojak Penang serta minuman ringan bersaiz 12 auns (oz).

Menurut Jane, sambutan 26 tahun itu bukan sahaja meraikan perjalanan TCRS, malah menjadi asas kepada hala tuju serta perkembangan jenama berkenaan pada masa hadapan.
“Selepas 26 tahun, kami tetap The Chicken Rice Shop yang sama dan terus mendapat kepercayaan rakyat Malaysia.
“Kami mahu memberikan yang terbaik kepada mereka, sama ada melalui cita rasa baharu dalam menu mahupun pelbagai usaha kecil untuk membalas sokongan komuniti yang telah bersama kami sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai TCRS boleh diperoleh menerusi laman rasmi syarikat.