107 sekolah di Serian ditutup sementara, IPU cecah lebih 200

Foto RTM

KUCHING, 12 Ogos – Sebanyak 107 sekolah di Bahagian Serian akan ditutup sementara bermula esok susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan melebihi paras 200.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan sekolah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
  • Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah, tadika dan taska di bawah JPN Sarawak perlu ditutup apabila bacaan IPU mencecah 200.
  • Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran.
  • Beberapa kawasan lain catat bacaan tidak sihat dan sederhana; tiada kawasan dilaporkan dalam kategori baik atau berbahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataannya berkata penutupan itu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.

“Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah, tadika dan taska di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU mencecah 200,”katanya.

Sehubungan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Tebedu merekodkan bacaan IPU 212, manakala Serian mencatat 202, kedua-duanya dalam kategori sangat tidak sihat.

Sementara itu, 11 kawasan lain turut merekodkan bacaan dalam kategori tidak sihat, iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu, Lubok Antu dan Lawas.

Lima kawasan pula mencatat bacaan sederhana membabitkan Mukah, Kapit, ILP Miri, Limbang dan Bario.

Tiada kawasan direkodkan berada dalam kategori baik mahupun berbahaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.