Diesel bersubsidi disonglap, 2 lelaki di tahan KPDN

Foto KPDN Perak

TELUK INTAN, 12 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan membabitkan 32,760 liter diesel dalam serbuan di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan selepas risikan dua minggu, mendapati lori tangki 52 tan menerima diesel bersubsidi menggunakan dokumen penghantaran tidak sepadan.
  • Semakan LKIM sahkan lori itu tidak tersenarai sebagai kenderaan dibenarkan mengangkut diesel bersubsidi ke Hilir Perak.
  • KPDN menyita lori, dokumen dan diesel; dua lelaki ditahan; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Serbuan menerusi Op Tiris 4.0 kira-kira jam 1.50 petang itu dilakukan selepas KPDN menjalankan risikan selama dua minggu berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menerima bekalan diesel bersubsidi nelayan menggunakan sebuah lori tangki berkapasiti 52 tan.

“Pemeriksaan turut mendapati berlaku ketidakpatuhan serius terhadap dokumentasi penghantaran apabila alamat yang tertera pada dokumen ‘Delivery Order’ tidak sepadan dengan alamat lesen sah premis berkenaan.

“Semakan lanjut bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak mendapati lori tangki itu tidak tersenarai sebagai kenderaan yang dibenarkan untuk mengangkut diesel bersubsidi nelayan ke Hilir Perak.

“Kita turut menemukan rekod penjualan minyak diesel kepada sembilan buah bot nelayan, namun hasil pemeriksaan dan semakan mendapati hanya empat bot yang benar-benar membuat tuntutan dan selesai mengambil minyak di jeti pada tarikh tersebut,” katanya.

KPDN mengesyaki diesel berkenaan akan dibawa keluar menggunakan kenderaan darat atau dijual semula kepada bot yang tidak layak pada harga lebih tinggi.

Dalam operasi itu, KPDN menyita 32,760 liter diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 52 tan serta beberapa dokumen untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM599,058, masing-masing membabitkan diesel bernilai RM149,058 dan lori tangki bernilai RM450,000.

“Dua lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,”katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.