Sinergi penggabungan, 5G dan aset infrastruktur pacu dividen Axiata

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Axiata Group Bhd menjangkakan pertumbuhan dividen tahunan sekitar 10 peratus pada masa akan datang dipacu sinergi penggabungan, kepimpinan pasaran 5G serta pengewangan aset infrastruktur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinergi penggabungan dijangka mempercepat pertumbuhan dividen tahunan sekitar 10 peratus.
  • Kepimpinan 5G di Indonesia, Sri Lanka dan Kemboja dijangka menjana pulangan ketara.
  • Pengewangan aset infrastruktur menyokong aliran tunai dan kestabilan kewangan kumpulan.
  • Cabaran termasuk peralihan model rangkaian borong 5G Malaysia dan ketidaktentuan geopolitik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood yakin, pasaran telekomunikasi yang semakin baik akan turut mendorong prestasi operasi dan kewangan yang lebih kukuh.

”Kami menerajui pelaksanaan 5G di Indonesia, Sri Lanka serta Kemboja dan kami seharusnya dapat menjana pulangan daripada kepimpinan 5G di pasaran-pasaran ini.

”Itu antara peluang yang kami lihat, selain perniagaan infrastruktur yang juga sedang mencatatkan kemajuan,” katanya pada taklimat media keputusan kewangan tahun 2025 secara maya, hari ini.

Bagaimanapun katanya, cabaran masih wujud khususnya berkaitan peralihan kepada model rangkaian borong dua hala 5G di Malaysia, selain ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi global.

Untuk tempoh seterusnya, kumpulan itu akan mengekalkan kesinambungan strategik dan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan sedia ada di bawah strategi ‘Axiata28: Advancing Asia’.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Axiata mencatat keuntungan bersih sebanyak RM364.6 juta, lebih rendah berbanding RM946.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan pula merosot kepada RM11.8 bilion berbanding RM12.5 bilion ekoran kesan pertukaran mata wang asing.

Axiata turut merekodkan pulangan pemegang saham yang kukuh, dengan dividen sebanyak RM1.7 bilion.

Kumpulan itu mengisytiharkan keseluruhan jumlah dividen 10.0 sen sesaham, disokong oleh aliran tunai yang kukuh dan lembaran imbangan yang lebih sihat.