
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global apabila mencatat prestasi terbaik berbanding tahun lalu.
- Subsektor kediaman terus dominan, menyumbang lebih 60% daripada jumlah pindah milik dan nilai signifikan.
- Kediaman berharga RM300,000 ke bawah menguasai pasaran, mewakili lebih separuh transaksi.
- Data pasaran tepat ditekankan; industri digesa guna maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak berkata subsektor kediaman terus mendominasi pasaran dengan menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pindah milik, mencatat nilai melebihi RM108 bilion.
Menurut beliau, kediaman berharga RM300,000 ke bawah kekal menguasai pasaran, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan transaksi.
“Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, pasaran harta tanah negara masih bertahan dan merekodkan pertumbuhan sederhana dengan 416,413 transaksi bernilai rm241.87 bilion di rekodkan.
“Ini menunjukkan peningkatan nilai 4.1% dan sedikit pengecutan marginal 1.0 peratus dari segi bilangan berbanding tahun lalu,” katanya ketika merasmikan pelancaran Laporan Pasaran Harta Tanah 2025 bersama 11 laporan berkaitan.
Bagi pelancaran baharu, hampir 65,000 unit direkodkan pada 2025 dengan kadar jualan 35.5 peratus, menurun 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, unit kediaman siap dibina tetapi tidak terjual melebihi 30,000 unit bernilai RM17.73 bilion, meningkat lebih 30 peratus dari segi bilangan dan 27 peratus dari segi nilai.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pula mencatat pertumbuhan positif 2.6 peratus kepada 233.1 mata dengan harga purata RM502,922 seunit. Rumah teres mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 3.3 peratus diikuti rumah berkembar (2.8 peratus), rumah sesebuah (2.4 peratus) dan unit bertingkat tinggi (0.6 peratus).
Dalam segmen komersial, kadar penghunian kompleks perniagaan dan pejabat binaan khas milik persendirian turut meningkat masing-masing kepada 78.9 peratus dan 71.9 peratus.
Abdul Razak turut menekankan kepentingan data pasaran yang tepat dan menggesa semua pihak industri merujuk maklumat yang disediakan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi menyokong perancangan pembangunan sektor hartanah.