
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Agrobank telah menyalurkan pembiayaan padi berjumlah RM70 juta setakat 20 Oktober lalu dengan memanfaatkan hampir 10,000 pesawah di seluruh negara.
- Pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh hingga enam bulan membantu pesawah dapatkan modal pembelian input dan operasi setiap musim penanaman.
- Skim Takaful Tanaman Padi menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar untuk bencana alam dan RM1,500 sehektar untuk serangan perosak dan penyakit.
- Agrobank menyalurkan bantuan takaful bernilai RM52 juta setakat ini dan menekankan sokongan modal serta perlindungan risiko untuk daya tahan pesawah.
Bank itu menerusi kenyataan memaklumkan, kemudahan itu membolehkan pesawah meneruskan aktiviti penanaman, sekali gus menyokong pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara.
”Agrobank menyediakan kemudahan pembiayaan khusus pada kadar yang berpatutan bagi menyokong kelangsungan aktiviti penanaman, melindungi sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan mereka.
”Pembiayaan ini membantu pesawah memenuhi keperluan modal bagi pembelian input pertanian dan operasi sepanjang musim penanaman,” jelas Agrobank.
Menerusi kemudahan itu, pesawah boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga enam bulan untuk setiap musim penanaman.
Selain pembiayaan, bank itu turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), yang menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam.
STTP turut memberikan perlindungan sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
Setakat ini, manfaat perlindungan mencecah RM52 juta telah disalurkan menerusi STTP bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sokongan kepada pesawah perlu merangkumi keperluan modal dan perlindungan terhadap risiko yang boleh menjejaskan hasil tanaman serta pendapatan mereka.
“Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh.
“Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menjaga kebajikan pesawah dan memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara,” katanya.