
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Waris kini boleh menyemak perlindungan takaful keluarga atau insurans hayat milik ahli keluarga yang telah meninggal dunia dengan lebih mudah menerusi portal Semak Kasih.
- Waris boleh menyemak perlindungan takaful keluarga atau insurans hayat anggota yang telah meninggal dengan mudah melalui portal Semak Kasih.
- Platform sehenti dibangunkan oleh Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia di bawah seliaan Bank Negara Malaysia.
- Perkhidmatan percuma: daftar, hantar maklumat dan sijil kematian; portal memaparkan pengendali takaful atau syarikat insurans hayat untuk tindakan tuntutan.
Platform sehenti itu dibangunkan secara bersama oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut kenyataan bersama MTA dan LIAM, portal itu memudahkan waris mengesan perlindungan takaful keluarga atau insurans hayat tanpa perlu membuat semakan secara berasingan.
“Perkhidmatan secara percuma ini membolehkan waris mengenal pasti pengendali takaful atau syarikat insurans hayat yang berkaitan bagi memulakan proses tuntutan.”
Bagi membuat semakan, pengguna perlu mendaftar akaun di portal Semak Kasih sebelum mengemukakan maklumat individu yang telah meninggal dunia berserta salinan sijil kematian.
Sekiranya terdapat padanan rekod, portal itu akan memaparkan maklumat perhubungan pengendali takaful atau syarikat insurans hayat yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Pelancaran Semak Kasih mencerminkan kerjasama MTA, LIAM dan BNM dalam memperkukuh pemerkasaan pengguna, meningkatkan keterangkuman kewangan serta memudahkan akses kepada manfaat perlindungan kewangan bagi rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini turut mencerminkan kerjasama erat antara industri takaful dan insurans hayat dalam merealisasikan inisiatif yang berteraskan kepentingan pengguna.”
Portal tersebut dilancarkan secara rasmi bersempena Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026 oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell.