
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Peningkatan subsidi kerajaan susulan kenaikan harga minyak dunia dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kestabilan harga serta melindungi kesejahteraan rakyat.
- Subsidi bertindak sebagai penampan jangka pendek untuk elak kenaikan harga global dipindahkan terus kepada pengguna.
- Pendekatan subsidi bersasar memastikan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan dan sektor ekonomi kritikal.
- Kerajaan meningkatkan subsidi daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion untuk melindungi kesejahteraan rakyat.
- Reformasi struktur, kecekapan tenaga dan pengangkutan awam perlu diperkukuh untuk kurangkan kebergantungan import bahan api.
Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, subsidi itu berperanan sebagai penampan jangka pendek bagi mengelakkan kenaikan harga global dipindahkan secara langsung kepada pengguna, sekali gus mengekalkan kuasa beli dan menyokong aktiviti ekonomi domestik.
Menurut beliau, pendekatan subsidi bersasar seperti dilaksanakan kerajaan ketika ini juga dilihat lebih berkesan kerana bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan serta sektor ekonomi kritikal.
“Dalam jangka pendek, subsidi ini membantu memastikan ekonomi terus bergerak tanpa kejutan mendadak, khususnya dari segi kos pengangkutan dan harga barangan,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bagi jangka panjang, kerajaan perlu terus memperkukuh reformasi struktur termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, memperkasa pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.
Tambahnya, pendekatan gabungan antara subsidi bersasar, disiplin fiskal dan strategi tenaga yang mampan penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dapat dikekalkan secara berterusan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kestabilan harga serta melindungi kesejahteraan rakyat daripada kesan kenaikan kos tenaga global.