Pemantauan menyeluruh kesan majikan pecah entiti elak pelaksanaan gaji minimum

Datuk Mohamad Alamin / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pemantauan menyeluruh dilaksanakan bagi mengesan majikan yang memecahkan perniagaan kepada beberapa entiti untuk kekal di bawah ambang hasil jualan dan mengelak pelaksanaan gaji minimum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengesanan melalui semakan silang dokumen seperti KWSP dan penyata LHDN.
  • Aktiviti perniagaan tidak boleh dipecahkan sewenang-wenangnya; syarikat tertakluk kepada pendaftaran, lesen dan premis operasi yang sah.
  • Pengecualian gaji minimum bagi PMKS bawah RM50 juta boleh mendorong manipulasi struktur perniagaan.
  • Menyusun semula struktur untuk elak kewajipan statutori memberi kesan jangka panjang; kekalkan tadbir urus bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pengesanan boleh dibuat melalui semakan silang terhadap beberapa dokumen.

“Aktiviti perniagaan tidak boleh dipecahkan sewenang-wenangnya kerana setiap syarikat tertakluk kepada pendaftaran entiti, pemilikan lesen dan premis operasi yang sah.

“Tambahan pula, semua maklumat berkaitan telah direkodkan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Justeru, kerajaan mempunyai mekanisme yang kukuh untuk meneliti perkara seumpama ini,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan wujud majikan yang cuba memanipulasi struktur perniagaan susulan pengecualian pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dibawah Belanjawan 2027.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027.

Bagaimanapun, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada perniagaan menyesuaikan model operasi masing-masing.

Mengulas lanjut, Datuk Mohamad berkata, tindakan menyusun semula struktur perniagaan semata-mata untuk mengelak kewajipan statutori boleh membawa kesan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

“Kesan jangka panjang itu pasti ada dan perkara ini tidak boleh dinafikan. Hakikatnya, wujud kerugian kepada pihak syarikat dan juga kepada kerajaan,” katanya.

Beliau mengingatkan majikan supaya tidak mengambil jalan pintas, sebaliknya mengekalkan amalan tadbir urus yang bertanggungjawab selaras dengan agenda pembangunan sosioekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.