Pengecualian Gaji Minimum: PMKS perlu ada sijil perakuan status

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta yang mahu memohon pengecualian daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu di bawah Belanjawan 2027 digesa mendapatkan sijil perakuan status PMKS daripada SME Corp. Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yuran permohonan sijil RM100, dengan diskaun 50% sehingga 31 Disember.
  • Sijil memudahkan akses kepada program sokongan kerajaan dan memperkukuh permohonan pembiayaan bank.
  • Kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027; pengecualian bagi PMKS beri ruang penyesuaian operasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, setiap permohonan dikenakan bayaran RM100, namun diskaun 50 peratus diberikan sehingga 31 Disember ini.

Jelas beliau, sijil berkenaan juga dapat memudahkan urusan PMKS untuk mendapatkan kemudahan serta program sokongan kerajaan.

“Sijil ini bukan hanya menjadi perakuan bagi tujuan pengecualian daripada pelaksanaan gaji minimum, tetapi turut memberi manfaat untuk urusan seterusnya.

“Jika mahu memohon dana pembiayaan daripada bank sekalipun, pihak bank akan melihat status dan sijil berkenaan,” katanya kepada RTM.

SME Corp. Malaysia merupakan satu-satunya agensi yang diberi mandat mengeluarkan sijil perakuan status PMKS di negara ini.

Setakat ini, lebih 60,000 PMKS telah memperoleh pengesahan status berkenaan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027.

Pengecualian diberikan kepada PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta bagi memberi ruang kepada perniagaan menyesuaikan model operasi masing-masing.

Kadar baharu itu dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.