
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Bursa Malaysia Bhd dijangka melancarkan pelan hala tuju strategik 2027-2030 pada suku keempat tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pertumbuhan pasaran, mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh daya saing jangka panjang.
- Fokus pada pertumbuhan berasaskan data, digital dan teknologi untuk mempelbagaikan hasil bukan dagangan.
- Mengeksplorasi tokenisasi, perkhidmatan pasca dagangan dan kerjasama strategik untuk memperluas capaian pasaran.
- Memperluas ETF termasuk ETF mata wang digital, membina saluran IPO dan memacu agenda kemampanan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelan berkenaan kini dalam proses dimuktamadkan dan akan menjadi panduan strategik Bursa Malaysia selepas tamatnya pelan semasa 2024-2026.
“Kami telah mengusahakan pelan strategik baharu sejak akhir tahun lalu dan kini dalam proses memuktamadkan hala tuju strategik 2027-2030 yang dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini,” katanya pada sidang media keputusan kewangan separuh pertama 2026 Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelan itu dirangka sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti (SC), dengan fokus mempercepat peluang pertumbuhan berasaskan data, digital dan teknologi bagi memperluas hasil bukan dagangan Bursa Malaysia.
“Bursa Malaysia turut meneroka peluang baharu termasuk tokenisasi, memperluas perkhidmatan pasca dagangan serta menilai kerjasama strategik bagi meningkatkan capaian pasaran dan membuka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Selain itu jelas beliau, Bursa Malaysia merancang memperluas rangkaian dana dagangan bursa (ETF), termasuk ETF mata wang digital, serta terus membina saluran IPO yang kukuh terutama penyenaraian berskala besar bagi meningkatkan kedalaman pasaran, kecairan dan minat pelabur.
Datuk Fad’l berkata, agenda kemampanan turut menjadi keutamaan menerusi usaha penyahkarbon, selain meningkatkan pengalaman pelanggan dan penglibatan pasaran melalui inisiatif berteraskan pelanggan termasuk pembangunan aplikasi mudah alih MyBursa.
“Bursa Malaysia kekal komited memperkukuh peranan sebagai platform utama pengumpulan dana negara, memperluas penyertaan pelabur runcit dan institusi serta memanfaatkan kedudukan sebagai peneraju pasaran modal Islam,” ujarnya.