Bursa Malaysia catat untung bersih RM144.6 juta, isytihar dividen interim 16.5 sen sesaham

Foto HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Bursa Malaysia Bhd merekodkan prestasi kewangan kukuh bagi separuh pertama 2026 apabila keuntungan bersih meningkat 15.2 peratus kepada RM144.6 juta berbanding RM125.48 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan meningkat 19.6% kepada RM425.04 juta, disokong peningkatan aktiviti dagangan sekuriti dan hasil pengumpulan dana.
  • Bursa merekod 36 IPO mengumpul RM5.4 bilion dan menyumbang RM26.1 bilion kepada permodalan pasaran.
  • Isytihar dividen interim 16.5 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM133.5 juta; tarikh kelayakan 19 Ogos, pembayaran 27 Ogos.

Perolehan turut meningkat 19.6 peratus kepada RM425.04 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan sekuriti serta hasil berkaitan pengumpulan dana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata, prestasi berkenaan mencerminkan daya tahan pasaran modal Malaysia, disokong aktiviti dagangan yang kukuh, momentum pengumpulan dana yang baik serta keyakinan berterusan pelabur.

“Sepanjang tempoh tersebut, Bursa Malaysia mendahului ASEAN dari segi bilangan IPO dan pengumpulan dana, dengan 36 IPO mengumpul RM5.4 bilion, membuktikan peranan kami sebagai platform yang dipercayai untuk syarikat yang ingin mengumpulkan modal bagi pertumbuhan.”

Bursa Malaysia memaklumkan, sebanyak 36 tawaran awam awal (IPO) melibatkan Pasaran Utama, ACE dan LEAP berjaya mengumpul RM5.4 bilion, selain menyumbang RM26.1 bilion dalam permodalan pasaran.

Dalam pasaran sekuriti, purata nilai dagangan harian (ADV) meningkat 35 peratus tahun ke tahun kepada RM3.3 bilion, mencerminkan penyertaan pelabur yang berterusan.

“Pasaran derivatif turut mencatat pertumbuhan positif dengan purata dagangan kontrak harian (ADC) meningkat 9.9 peratus kepada 106,518 kontrak, didorong terutama aktiviti dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah,” jelasnya.

Bagi pasaran Islam, Bursa Malaysia berkata Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) merekodkan purata nilai dagangan harian sebanyak RM49.5 bilion, manakala Bursa Gold Dinar mencatat peningkatan nilai transaksi 178.1 peratus kepada RM200.5 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mengenai prospek, Datuk Fad’l berkata walaupun perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global terus dipantau, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong pertumbuhan aktiviti pelaburan.

“Prospek pertumbuhan Malaysia kekal menggalakkan bagi 2026, didorong oleh permintaan domestik yang mampan dan pengembangan sektor teknologi yang berterusan seterusnya memperkukuh persekitaran kondusif untuk pembentukan modal dan aktiviti pelaburan.

“Kami yakin dengan prospek aktiviti IPO pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh perancangan yang teliti dan minat berterusan daripada syarikat yang ingin mengumpul modal pertumbuhan melalui pasaran awam,” katanya.

Bursa Malaysia turut meluluskan dan mengisytiharkan dividen interim 16.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, berjumlah kira-kira RM133.5 juta dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 92 peratus.

Tarikh kelayakan dividen adalah 19 Ogos 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 27 Ogos ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.