
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lalu selepas mencatat jualan bersih minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM11.1 juta.
- Institusi asing pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan; aliran masuk tertinggi Jumaat RM131.5 juta.
- Perkhidmatan kewangan RM216.5 juta, penjagaan kesihatan RM148 juta, pengangkutan dan logistik RM107.4 juta.
- Produk dan perkhidmatan perindustrian RM191.7 juta, teknologi RM164 juta, perladangan RM32.8 juta.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menyatakan institusi asing muncul pembeli bersih bagi tiga dari lima hari dagangan minggu lalu dengan aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan pada Jumaat berjumlah RM131.5 juta.
Menurut bank pelaburan itu, tiga sektor yang merekodkan aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM216.5 juta, diikuti penjagaan kesihatan (RM148 juta) dan pengangkutan serta logistik (RM107.4 juta).
Sebaliknya, tiga sektor yang merekodkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM191.7 juta, diikuti teknologi (RM164 juta) dan perladangan (RM32.8 juta).
“Trend sama turut dipamerkan institusi tempatan yang kembali merekodkan belian bersih selepas tiga minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM48.1 juta.
“Pelabur runcit kembali mencatat jualan bersih selepas merekodkan belian bersih pada minggu sebelumnya, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM59.1 juta,” jelas MBSB menerusi Laporan Aliran Dana mingguannya.
Di peringkat serantau merangkumi lapan pasaran yang dipantau MBSB IB, pelabur asing meneruskan jualan bersih bagi minggu keenam berturut-turut dengan jumlah aliran keluar mencecah AS$1.19 bilion.
India merekodkan aliran masuk bersih asing terbesar, diikuti Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Filipina dan Malaysia.
Sebaliknya, Taiwan serta Vietnam mencatat aliran keluar bersih tertinggi.
Sementara itu, ringgit mengukuh sedikit sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat kepada RM4.0860.
Dalam pasaran komoditi, harga minyak mentah Brent susut 6.9 peratus kepada AS$90.12 setong, manakala harga minyak sawit mentah turun 1.7 peratus kepada RM4,643 satu tan.