
TOKYO, 3 Ogos- Harga minyak mentah dunia jatuh hampir 5 peratus pada dagangan awal Asia Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rundingan baharu dengan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat dan membuka semula Selat Hormuz.
- Donald Trump umum rundingan baharu dengan Iran untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz.
- Konflik bermula akhir Februari selepas serangan AS dan Israel, menjejaskan laluan perairan penting serta bekalan minyak dan gas global.
- Harga rujukan Brent turun kepada AS$83.81 setong manakala WTI turun kepada AS$80.72 setong.
- Trump tangguhkan serangan besar untuk memberi ruang rundingan; lokasi dan pihak terlibat tidak didedahkan.
Konflik yang bermula pada akhir Februari selepas serangan AS dan Israel terhadap Iran menyebabkan harga minyak mengalami turun naik ketara selepas laluan perairan penting bagi bekalan minyak dan gas global itu terjejas.
Pada sekitar pukul 10.50 malam Ahad waktu GMT, harga minyak mentah Brent Laut Utara bagi penghantaran September susut 4.69 peratus kepada AS$83.81 setong.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), penanda aras Amerika Syarikat pula turun 4.67 peratus kepada AS$80.72 setong.
Trump berkata rundingan baharu dengan Iran akan bermula Isnin selepas beliau menangguhkan serangan besar terhadap republik itu bagi memberi ruang kepada usaha mencapai persetujuan.
“Kini apa yang kita lakukan ialah berbincang dengan mereka melalui rundingan. Ia bermula petang esok,” katanya tanpa mendedahkan lokasi atau pihak terlibat dalam rundingan berkenaan.
Beberapa jam selepas AS menangguhkan serangan besar terhadap Iran, Tehran berkata pihaknya hampir mencapai persetujuan dengan Oman mengenai laluan baharu melalui Selat Hormuz. -AFP