
KUALA LUMPUR, 25 April – Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami ketidaktentuan minggu depan dengan aliran menurun sedikit berikutan kekurangan bekalan minyak mentah yang melalui Selat Hormuz, menurut pakar industri Denis Low.
- Ketidaktentuan dalam perjanjian AS-Iran turut menyebabkan kekurangan bekalan, sekali gus mendorong kenaikan harga komoditi.
- Ketidaktentuan dan kekurangan bekalan mendorong aktiviti pengambilan untung berlebihan yang mungkin tidak mampan.
- Situasi geopolitik melonjakkan harga tertentu dan mengehadkan permintaan bagi barangan lain.
- Harga rujukan LGM menunjukkan GMM20 meningkat manakala lateks pukal mencatatkan penyusutan.
Beliau berkata keadaan itu juga turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mengakibatkan hampir semua barangan mengalami kekurangan bekalan, sekali gus mendorong kenaikan harga.
“Apabila ketidaktentuan dan kekurangan bekalan berlaku, harga akan menjadi tidak menentu disebabkan dinamik kekurangan itu dan ia mungkin mewujudkan aktiviti pengambilan untung yang berlebihan.
“Realiti tentang kekurangan bekalan boleh difahami, tetapi pengambilan untung berlebihan mungkin tidak mampan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata situasi geopolitik semasa juga turut melonjakkan harga komoditi tertentu melangkaui jangkaan, di samping mengurangkan atau mengehadkan permintaan bagi barang-barang yang lain.
Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 37.5 sen kepada 841 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut 10.5 sen kepada 757.5 sen sekilogram.- BERNAMA