
KUALA LUMPUR, 7 Jun– Langkah mempelbagaikan sumber bekalan tenaga dilihat sebagai strategi membina jaringan keselamatan ekonomi negara ketika ketidaktentuan global terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan harga komoditi.
- Mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan memastikan pilihan sumber dan negara pembekal tenaga lebih luas.
- Bekalan tenaga stabil membolehkan industri merancang, mengekalkan operasi kilang dan mengawal kos pengeluaran.
- Kenaikan kos tenaga atau gangguan boleh memberi kesan berantai kepada harga barangan, kos pengangkutan dan perkhidmatan.
- Jangka panjang perlu percepat tenaga boleh baharu, tingkat kecekapan, perkukuh grid dan bangunkan sistem penyimpanan tenaga lebih baik.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, langkah itu membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan memastikan Malaysia mempunyai pilihan sumber dan negara pembekal tenaga yang lebih luas.
Bekalan tenaga yang stabil katanya membolehkan industri merancang dengan lebih baik, memastikan kilang terus beroperasi, kos pengeluaran lebih terkawal selain mengelakkan aktiviti eksport negara daripada terganggu.
“Ini penting kerana tenaga ini bukan sahaja digunakan oleh isi rumah tetapi juga digunakan sebagai input dalam sektor-sektor ekonomi termasuklah perkilangan pengangkutan, perniagaan dan juga pengangkutan awam.
Bagi industri pula, bekalan tenaga yang stabil dan konsisten akan dapat membantu mereka beroperasi lebih baik.” katanya.
Tambahnya sebarang kenaikan mendadak kos tenaga atau gangguan bekalan boleh memberi kesan berantai kepada harga barangan, kos pengangkutan dan perkhidmatan.
Justeru strategi mempelbagaikan sumber bekalan tenaga perlu dilihat sebagai langkah perlindungan awal dan transisi, bukan penyelesaian akhir.
Bagi jangka panjang, Malaysia perlu mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh grid serta membangunkan sistem simpanan tenaga yang lebih baik.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan, kerajaan
mempelbagaikan sumber bekalan tenaga bagi memastikan bekalan tenaga negara mencukupi.