
KUALA LUMPUR, 13 April – Kegagalan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berisiko memberi tekanan tambahan kepada ekonomi global, dan Malaysia tidak ketinggalan berdepan tekanan sama, khususnya jika ketegangan di Asia Barat terus berlarutan dan menjejaskan pasaran tenaga global.
- Harga minyak tinggi dijangka meningkatkan kos subsidi dan mengecilkan ruang fiskal kerajaan.
- Kenaikan kos logistik, makanan import dan pengangkutan dijangka menambah tekanan inflasi dan menjejaskan kuasa beli.
- Ringgit berisiko lemah, Bursa Malaysia berubah-ubah, dan pertumbuhan ekonomi boleh melambat sekiranya bekalan minyak terganggu.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr Abu Sofian Yaacob, berkata harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi melebihi AS$100 setong sekiranya rundingan gagal mencapai penyelesaian, sekali gus meningkatkan kos subsidi bahan api dan mengecilkan ruang fiskal kerajaan.
Menurut beliau, tekanan inflasi juga dijangka meningkat susulan kos logistik, makanan import dan pengangkutan yang lebih tinggi.
“Pada masa sama, ringgit berisiko melemah berikutan aliran pelabur ke dolar Amerika Syarikat sebagai aset selamat,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Tambah beliau, prestasi Bursa Malaysia pula dijangka mencatatkan pergerakan bercampur, manakala beban fiskal kerajaan dijangka bertambah berikutan keperluan menampung subsidi serta bantuan kos sara hidup.
“Risiko akan menjadi lebih besar sekiranya Selat Hormuz terganggu kerana ia boleh menjejaskan bekalan minyak global.
“Dalam jangka pendek, harga minyak dan volatiliti ringgit dijangka meningkat,” katanya.
Tambah beliau, dalam tempoh sederhana, inflasi berkemungkinan terus meningkat, manakala pertumbuhan ekonomi Malaysia pula berpotensi menjadi lebih perlahan.