Kadar pengangguran November susut 2.9%, terendah dalam tempoh 11 tahun

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 9 Januari -Kadar pengangguran pada November 2025 turun 0.1 peratus kepada 2.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, terendah dalam tempoh 11 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar pengangguran pada November 2025 turun kepada 2.9 peratus, terendah dalam 11 tahun.
  • Bilangan penganggur berjumlah 518,400 orang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
  • Tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang bulan itu.
  • Guna tenaga meningkat dalam Perkhidmatan, Pertanian, Pembuatan, Pembinaan dan Perlombongan.
  • Pasaran buruh dijangka kekal stabil, inklusif dan berdaya tahan dengan peluang pekerjaan baharu.

Jumlah itu menjadikan bilangan penganggur pada bulan tersebut berjumlah 518,400 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, kali terakhir kadar pengangguran dicatatkan di bawah paras 3 peratus adalah pada November 2014.

”Kedudukan ekonomi yang menggalakkan pada bulan tersebut dilihat terus menyokong pertumbuhan yang stabil dalam pasaran buruh.

”Justeru, tenaga buruh bertambah sebanyak 0.2 peratus mencecah 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus seperti bulan sebelumnya.

Bilangan penduduk bekerja berada dalam trend peningkatan pada November 2025, naik sebanyak 0.2 peratus kepada 17.09 juta orang daripada 17.06 juta orang pada Oktober 2025.

Selain itu, bilangan guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil, terutamanya dalam aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial; perdagangan borong & runcit, serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

Sektor Pertanian, Pembuatan, Pembinaan dan Perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam guna tenaga.

”Secara keseluruhan, kedudukan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil dan terus berkembang secara positif pada bulan-bulan yang akan datang dengan peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan dalam sektor strategik.

”Pada masa sama, pembangunan wilayah yang lebih seimbang dijangkakan, dengan peluang pekerjaan yang meluas ke luar bandar.

”Justeru, pasaran buruh Malaysia diramal kekal kompetitif, inklusif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global, di samping memanfaatkan peluang daripada transformasi digital dan agenda hijau,” tambahnya.