
KUALA LUMPUR, 4 April – Industri semikonduktor negara terus berdaya tahan meskipun berdepan tekanan global.
- Pengukuhan rantaian bekalan kini menjadi keutamaan strategik untuk memastikan kesinambungan operasi dan hadapi gangguan geopolitik
- Syarikat beralih kepada mempelbagaikan sumber bekalan merentas negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran
- Pengurusan bekalan dipertingkat termasuk stok penimbal mencukupi, serta penggunaan automasi dan AI untuk tingkatkan kecekapan dan daya saing
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Wong Siew Hai berkata, pengukuhan rantaian bekalan kini menjadi keutamaan strategik dalam memastikan kesinambungan operasi.
“Kita perlu menangani setiap cabaran, justeru rantaian bekalan menjadi isu utama. Faktor seperti konflik Iran dan ketegangan geopolitik perlu dikenal pasti dengan jelas agar syarikat dapat bersedia,” katanya kepada RTM.
Menurut beliau, syarikat kini beralih kepada strategi mempelbagaikan sumber bekalan merentas beberapa negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran.
Langkah itu penting dalam meningkatkan keupayaan industri menghadapi gangguan luaran serta memastikan operasi kekal stabil.
Selain itu, kebanyakan syarikat kini mempunyai stok penimbal mencukupi, hasil penambahbaikan pengurusan bekalan sejak pandemik, sekali gus membantu mengekalkan kelancaran operasi dalam tempoh terdekat.
Dalam usaha memperkukuh daya saing, industri juga giat meningkatkan kecekapan melalui penggunaan automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Pendekatan itu dijangka terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global semikonduktor di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.