
KUALA LUMPUR, 24 Mei -Cadangan kerajaan menetapkan garis pemisah penerima subsidi petrol wajar mengambil kira tahap pendapatan isi rumah berikutan ia lebih mencerminkan kemampuan kewangan sebenar rakyat.
- Mohd Sedek berkata pendekatan berdasarkan tahap pendapatan lebih mudah diukur dan telus untuk kenal pasti kumpulan benar-benar terkesan.
- Golongan berpendapatan tinggi terjejas sedikit kerana perbelanjaan petrol hanya sebahagian kecil daripada pendapatan bulanan.
- Kerajaan sedang memperhalusi garis pemisah supaya subsidi bersasar berdasarkan pendapatan sampai kepada golongan memerlukan.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pendekatan itu dilihat lebih mudah diukur dan telus bagi mengenal pasti kumpulan yang benar-benar terkesan sekiranya subsidi disasarkan semula.
“Pada pandangan saya, kita perlu lihat kumpulan mana yang boleh menerima kesan daripada rasionalisasi subsidi ini. Golongan berpendapatan sekitar RM25,000 ke atas antara yang boleh dipertimbangkan, kerana bagi mereka impaknya terhadap pendapatan boleh guna adalah tidak terlalu terkesan secara ketara,” katanya secara eksklusif bersama RTM.
Tambah beliau, bagi golongan berpendapatan tinggi, perbelanjaan petrol lazimnya hanya mewakili sebahagian kecil daripada pendapatan bulanan, walaupun bergantung kepada bilangan kenderaan yang dimiliki.
“Sebagai contoh, penggunaan sekitar 200 liter petrol sebulan bagi kumpulan berpendapatan tinggi dianggarkan menelan kos kira-kira RM398 pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding sekitar RM940 pada harga pasaran RM4.70 seliter.
“Perbezaan sekitar RM542 sebulan itu hanya mewakili kira-kira dua peratus daripada pendapatan bulanan mereka, jadi ia tidak memberi tekanan besar kepada kewangan mereka,” jelasnya lagi.
Manakala, bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, sebarang kenaikan kos bahan api akan memberi impak yang lebih ketara kepada pengurusan kewangan, khususnya terhadap perbelanjaan harian serta kuasa beli.
Jelas beliau, pendekatan subsidi bersasar berdasarkan pendapatan merupakan antara mekanisme paling sesuai bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah antara golongan yang layak menerima subsidi petrol dan mereka yang akan dikecualikan, sebagai sebahagian usaha melaksanakan subsidi yang lebih bersasar.