Institusi tempatan pembeli bersih di Bursa Malaysia enam minggu berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Institusi tempatan meneruskan pembelian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM572.9 juta pada minggu lalu ketika pelabur asing meneruskan rentak jualan berterusan di seluruh pasaran ekuiti serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur runcit kembali membuat belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM339.7 juta.
  • Pelabur asing meneruskan penjualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM912.6 juta.
  • Aliran keluar asing tertumpu pada produk dan perkhidmatan pengguna, utiliti dan penjagaan kesihatan.

MBSB Investment Bank Bhd dalam kenyataan memaklumkan, pelabur runcit turut kembali melakukan belian bersih selepas untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM339.7 juta sepanjang minggu yang berakhir 22 Mei.

Sementara itu, firma pelaburan itu berkata, pelabur asing meneruskan rentak jualan ekuiti di Bursa Malaysia, untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM912.6 juta.

Institusi asing mencatatkan aliran keluar bersih sepanjang minggu tersebut dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Rabu (RM329.2 juta), diikuti Selasa (RM256.5 juta), Khamis (RM156.5 juta), Isnin (RM106.3 juta) dan Jumaat (RM64.2 juta).

“Hanya tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih oleh institusi asing iaitu teknologi (RM79.2 juta), pengangkutan & logistik (RM57 juta), dan tenaga (RM1.3 juta).

“Tiga sektor utama yang merekodkan aliran keluar asing terbesar ialah produk & perkhidmatan pengguna (RM347.4 juta), utiliti (RM214.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM180.7 juta),” menurut Laporan Aliran Dana berakhir 22 Mei 2026, hari ini.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat bagi semua kategori pelabur: pelabur runcit sebanyak 0.7 peratus, institusi tempatan sebanyak 5.5 peratus, manakala institusi asing mencatat peningkatan sebanyak 7.3 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.