FMM unjur pertumbuhan KDNK sederhana jika konflik Asia Barat berlarutan

FMM unjur KDNK lebih tinggi sekiranya konflik di Asia Barat terkawal

PETALING JAYA, 17 Mac – Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara 2026 berada pada kadar sederhana antara 3.8 hingga 4.2 peratus sekiranya ketegangan di Asia Barat terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik Asia Barat berlarutan berpotensi menjejaskan pertumbuhan KDNK melalui gangguan penghantaran dan kos pengangkutan yang meningkat.
  • Ketidaktentuan harga minyak menaikkan kos pengeluaran terutama sektor berintensif tenaga dan mengurangkan permintaan akibat kelewatan penghantaran.
  • Sektor paling terjejas termasuk minyak sawit, sarung tangan getah, E&E, jentera dan produk halal; FMM akan pantau dan sesuaikan strategi.

Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK diunjurkan lebih tinggi, iaitu sekitar 4.7 hingga 4.9 peratus sekiranya konflik tersebut kekal terkawal, menurut Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok.

“Penyelidikan kami menunjukkan jika konflik kekal terhad, impaknya terhadap KDNK adalah minimum. Namun, jika berlarutan, ia berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini terutamanya disebabkan peningkatan konflik serta gangguan penghantaran di laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi risiko segera kepada pengilang Malaysia, termasuk kos pengangkutan yang lebih tinggi, kelewatan penghantaran, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos pengeluaran berkaitan tenaga,” katanya dalam taklimat media Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi Separuh Kedua 2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya ketidaktentuan harga minyak mentah turut memberi tekanan kepada kos pengeluaran merentasi pelbagai sektor, khususnya industri berintensifkan tenaga.

“Gangguan ini juga memberi kesan kepada permintaan apabila pembeli menjadi lebih berhati-hati susulan kelewatan penghantaran, sekali gus menjejaskan perancangan pengeluaran dan aliran tunai syarikat,” katanya lagi.

Menurutnya, antara sektor yang dijangka paling terkesan termasuk minyak sawit, sarung tangan getah, elektrik dan elektronik (E&E), jentera serta produk halal.

Pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyesuaikan strategi perolehan, logistik serta pengurusan inventori bagi mengurangkan risiko.