
KUALA LUMPUR, 17 Januari – Pelaksanaan dasar ekonomi kerajaan sepanjang 2025 dilihat menjadi pemangkin kepada prestasi ekonomi negara berdasarkan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi pertumbuhan suku keempat, iaitu 5.7 peratus.
- Pelaksanaan dasar ekonomi 2025 bertindak sebagai pemangkin kepada prestasi dan momentum pertumbuhan merentas sektor utama.
- Pelonggaran monetari dengan pengurangan kadar dasar semalaman 25 mata asas meningkatkan keyakinan pelabur dan peniaga.
- Komitmen terhadap konsolidasi fiskal dan dasar berdisiplin mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif bagi pelaburan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr.Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, pelaksanaan dasar yang konsisten sepanjang tahun lalu telah menyokong momentum pertumbuhan ekonomi merentas sektor utama.
Beliau berkata, langkah pelonggaran dasar monetari melalui pengurangan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025, selain komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal, telah membantu mengukuhkan keyakinan pelabur dan peniaga.
“Iltizam kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal secara berterusan dan berkesan telah mewujudkan keyakinan yang lebih tinggi dalam pasaran.
“Perkara ini dapat dilihat melalui pengukuhan nilai ringgit, yang muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan pelabur dan peniaga terhadap kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada RTM.
Tambahnya, pendekatan dasar yang jelas dan berterusan itu turut menyokong persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, sekali gus menggalakkan aktiviti ekonomi dan pelaburan dalam sektor-sektor utama.
Pelaksanaan dasar yang berdisiplin dan berfokus sepanjang 2025 juga telah menyediakan asas yang lebih kukuh bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini.