Bursa Malaysia dibuka tinggi, FBM KLCI naik 6.28 mata

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, seiring prestasi positif beberapa pasaran serantau, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.28 mata kepada 1,714.38 pada 9.10 pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran umum positif; 229 kaunter untung, 187 rugi, 360 kaunter tidak berubah, dagangan 285.58 juta saham bernilai RM108.52 juta.
  • Penganalisis Rakuten jangka pengukuhan susulan Wall Street lemah dan risiko kenaikan kadar Fed; aliran keluar asing bersih RM870 juta tekan pasaran.
  • Ketegangan AS-Iran mengekalkan harga minyak tinggi, Brent hampir US$97, menyokong saham tenaga dan memberi impak pasaran.

FBM KLCI dibuka 1.60 mata lebih tinggi pada 1,709.70 berbanding 1,708.10 pada penutup Jumaat.

Pasaran secara keseluruhan menunjukkan sentimen positif dengan 229 kaunter untung mengatasi 187 kaunter rugi, manakala 360 kaunter tidak berubah, 2,012 kaunter tidak diniagakan dan 25 kaunter digantung.

Jumlah dagangan ialah 285.58 juta saham bernilai RM108.52 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata walaupun prestasi pasaran lebih baik, indeks penanda aras itu dijangka terus mengalami fasa pengukuhan susulan prestasi Wall Street yang lebih lemah pada Jumaat lepas.

Beliau berkata Wall Street ditutup rendah selepas data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) lebih kukuh daripada jangkaan, sekali gus meningkatkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada pertengahan September.

“Susulan itu, hasil Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat sedikit kepada 4.784 peratus,” katanya.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng melonjak melepasi paras 25,600 berikutan keyakinan bahawa Fed mungkin mengekalkan kadar faedah buat masa ini, katanya.

Kenaikan itu diterajui oleh peningkatan minat belian terhadap saham berkaitan teknologi, katanya.

Di dalam negara, Thong berkata FBM KLCI susut di bawah paras 1,710 berikutan tekanan jualan berterusan daripada dana asing, dengan aliran keluar bersih asing berjumlah RM870 juta bagi minggu berkenaan.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,715 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Iran menyebabkan harga minyak mentah kekal tinggi, dengan harga Brent kini hampir US$97 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PPB Group meningkat 11 sen kepada RM9.95, Maxis menambah 4.0 sen kepada RM3.63, CelcomDigi naik 3.0 sen kepada RM2.73, Sunway Healthcare menokok 2.0 sen kepada RM2.10, manakala Hong Leong Bank meningkat 22 sen kepada RM23.88.

Bagi kaunter paling aktif, HHRG meningkat 3.5 sen kepada 18 sen, Ingenieur Gudang susut satu sen kepada 3.5 sen, Key Asic menambah satu sen kepada 7.5 sen, Ni Hsin naik setengah sen kepada 28.5 sen, manakala Notion Vtec meningkat 3.0 sen kepada 71.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Nestle meningkat 26 sen kepada RM95.10, United Plantations naik 12 sen kepada RM32.18, Dufu Technology menokok 11 sen kepada RM2.84, manakala Vitrox dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat 10 sen kepada RM9.26 dan RM13.72.

Antara kaunter rugi utama pula, Ta Ann susut 15 sen kepada RM6.04, AMMB Holdings turun 6.0 sen kepada RM6.89, Sarawak Oil Palms merosot 5.0 sen kepada RM5.87, HPP Holdings berkurangan 3.5 sen kepada 29 sen, manakala Stratus Global susut 3.0 sen kepada RM2.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 45.22 mata kepada 17,814.42, manakala Indeks FBM ACE menambah 16.56 mata kepada 5,234.03.

Indeks FBM Emas meningkat 40.85 mata kepada 12,666.31, Indeks FBM Top 100 mengukuh 42.16 mata kepada 12,471.42, manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 47.77 mata kepada 12,408.47.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 57.72 mata kepada 20,219.21, manakala Indeks Perladangan menambah 4.02 mata kepada 9,341.94.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat sedikit sebanyak 0.43 mata kepada 187.39, manakala Indeks Tenaga susut 2.53 mata kepada 803.09.

Sementara itu, Bursa Malaysia dalam pengumuman pasaran memaklumkan dagangan sekuriti Globaltec Formation Bhd digantung dari 9 pagi hingga 10 pagi ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.