fb fb fb fb fb

YDP Agong kurnia 100 ekor lembu untuk ibadah korban Aidiladha

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sebanyak 100 ekor lembu untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menitahkan agar daging korban tersebut diagihkan kepada kakitangan Istana Negara, golongan asnaf dan kumpulan B40.

Seri Paduka Baginda turut berkenan melafazkan niat korban dalam satu majlis di Istana Negara hari ini, yang dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

“Bagi menyempurnakan ibadah berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan mewakilkan kepada urus setia pelaksana korban Istana Negara untuk melaksanakannya bagi pihak Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan dalam hantaran tersebut.

Datuk Munir turut memanjatkan doa agar ibadah korban ini diterima Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan seluruh Keluarga Diraja Johor sentiasa dirahmati, diampuni, dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN