fb fb fb fb fb

Wisma Putra: Malaysia kutuk serangan rejim Israel semasa Aidilfitri

Rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 11 April - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, terutamanya semasa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata tindakan kejam membabitkan warga Palestin, malah lebih dua bilion umat Islam seluruh dunia jelas menunjukkan kebencian dan ia bertentangan dengan simbol sambutan perayaan iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan serta belas kasihan.

"Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosida yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Serangan ini juga akan menjejaskan rundingan gencatan senjata dan usaha-usaha mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini dan mempersoalkan niat Israel, jika ada, untuk mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini,” menurut kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra berkata masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman dan bencana manusia di Gaza, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan tersebut.

“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan kekejaman ini berterusan, kerana lebih banyak nyawa yang tidak berdosa akan terkorban disebabkan oleh rejim yang tidak mempunyai rasa keadilan, kemanusiaan atau moral.

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus memenuhi tanggungjawab mereka.

Tambahnya, UNSC perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa dan membawa ke muka penghadilan mana-mana pihak yang bertanggungjawab di atas jenayah sedemikian.

"Malaysia tetap teguh dalam usahanya untuk mencapai penyelesaian damai kepada konflik yang berpanjangan, yang telah meragut banyak nyawa selama lebih dari 75 tahun dan dengan tegas mempertahankan prinsip bahawa rakyat Palestin layak mencapai penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya," jelas kenyataan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN