
KUCHING, 9 April – Usaha memperkasa pembangunan kerjaya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dipergiat menerusi pelaksanaan program Work-Based Learning (WBL).
- Program WBL memberi peluang anggota mendapatkan diploma dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh perkhidmatan.
- WBL meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik anggota supaya lebih bersedia menghadapi kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.
- Inisiatif ini membantu memastikan bekas anggota mendapat pekerjaan dan meningkatkan minat rakyat menyertai angkatan tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini memberi peluang kepada anggota memperoleh kelayakan diploma dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Program tersebut merupakan antara inisiatif penting bagi meningkatkan kemahiran serta kelayakan akademik anggota tentera agar lebih bersedia menghadapi kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.
Melalui program ini, jumlah anggota tentera yang berpeluang mendapat diploma dapat ditingkatkan.
“Menerusi usaha-usaha yang sedang dilaksanakan seperti WBL dan program lain yang menekankan soal penyediaan anggota apabila hampir bersara dapat memastikan mereka mendapat pekerjaan lain, sekali gus meningkatkan minat rakyat Malaysia untuk menyertai angkatan tentera,” katanya kepada pemberita bersempena lawatan kerja ke Kuching.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, jumlah anggota tentera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan diselaras pada masa akan datang.
Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada pelbagai faktor antaranya pembinaan kem, pemindahan aset serta aspek logistik lain.
Bersempena lawatan ke Kuching, beliau turut mengadakan tinjauan ke projek pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang yang dijangka siap tahun ini.
Projek tersebut melibatkan pembinaan 190 unit RKAT pelbagai kelas serta kemudahan asas lain, termasuk surau dan taska.