fb fb fb fb fb

Fiza Kamarudin meninggal dunia akibat pendarahan otak

Allahyarham Fiza Kamarudin

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Wartawan hiburan, Siti Nor Haffiza Kamarudin atau Fiza Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London pada pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) malam tadi.

Adiknya, Siti Nor Hazlinda, 39, berkata, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli dalam proses perbincangan dengan Kedutaan Malaysia di London untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

"Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos.

"Suami arwah sedang berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di sana (London).

"Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan," katanya kepada pemberita RTM.

Menurut Nor Hazlinda, pendarahan otak itu disebabkan sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan Allahyarham hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London pada Rabu lalu.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum Allahyarham bersama suami dan dua anak mereka berlepas pulang ke tanah air.

Jelasnya, percutian ke London adalah hajat terakhir Allahyarham bagi meraikan anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

"Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia (Fiza) cakap dah janji nak bawa anak-anak bercuti.

"Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak," tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN
Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin meninggal dunia
Sumbangan buat Fiza Kamarudin akan disalur segera - Fahmi
Wartawan hiburan kritikal di London, tabung kecemasan ditubuhkan

SITI AISHAH BINTI MD ISA