IPOH, 29 Disember- Dua lelaki maut akibat lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Mohd Uzir Ismail berkata ketika kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 39 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 25 tahun dalam perjalanan membawa muatan kelapa sawit dari ladang di Kampung Pulau Pisang.
"Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kereta semasa tenggelam dalam air sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus, satu lorong dan sempit selain jalan tidak berturap dan tidak berbatu, manakala kejadian berlaku semasa cuaca baik.
Mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Hilux, Mior Hairul Adzaha Abdul Hamid, 39, dan penumpang hadapan kenderaan, Ahmad Hazim Baharuddin, 25.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.