KUALA LUMPUR, 28 November- Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin dilapor kritikal selepas tidak sedarkan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.
Fiza, 40, atau nama sebenar Siti Nor Hafiza Kamarudin kini dirawat di Hospital Charing Cross di Hammersmith, London.
Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga hendak berlepas pulang ke tanah air.
Suaminya, Mohd Roshdi berkata, pihak hospital memberitahu bahawa bacaan tekanan darah Fiza ketika ini sudah menurun ke paras membimbangkan.
"Hospital beritahu keadaan Fiza sangat tidak memuaskan, dia punya tekanan darah dah drop (jatuh) dan hospital juga minta kami (keluarga) datang sekarang," katanya kepada pemberita RTM.
Sehubungan itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) melancarkan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan Fiza.
Presidennya, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, tabung khas itu dilancarkan selepas mendapat persetujuan daripada Mohd Roshdi.
"WHAM mengambil kesempatan ini dengan mengalu-alukan semua pihak bagi membantu sahabat kita ini yang sedang memerlukan. Biarpun sedikit tetapi ia sungguh bermakna dan dihargai.
"Kami juga mengalu-alukan sumbangan rakan artis dan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan Fiza sepanjang kerjaya mereka. Memandangkan kita belum tahu berapa lama lagi Fiza perlu mendapatkan rawatan di sana dan bilakah dia akan dibawa pulang ke Malaysia, sudah pasti keluarganya memerlukan bantuan dan sokongan kewangan.
"WHAM merakamkan jutaan terima kasih dan semoga urusan Fiza dipermudahkan di sana. Semoga doa kita untuk kesembuhan sahabat kita itu dimakbulkan," katanya.
Sumbangan orang ramai boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5620-2169-1966 atas nama Penolong Setiausaha WHAM, Mohammad Sudirman.
Terdahulu, Fiza yang juga merupakan wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU telah terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London.
Bekas wartawan RTM itu bersama suami dan dua anaknya berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia, semalam.
Meskipun keadaan kesihatan kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza untuk bercuti atas permintaannya sendiri.