fb fb fb fb fb

Polis Korea Selatan pertahan siasatan ke atas aktor Filem 'Parasite'

Aktor Korea Selatan, Lee Sun-kyun/ FOTO REUTERS

SEOUL, 29 Disember-Ketua polis Incheon yang menyiasat aktor Korea Selatan, Lee Sun-kyun berhubung tuduhan penggunaan dadah terlarang pada Khamis mempertahankan siasatan pasukan berkenaan selepas aktor tersebut ditemui meninggal dunia.

Menurut Ketua polis Incheon, Kim Hui-jung semua proses siasatan telah diadili dan dibuat berdasarkan kerelaan mendiang Lee.

Kim turut berkata soal siasat tersebut adalah perlu bagi pihaknya dan dilakukan dengan kehadiran peguam Lee.

“Siasatan terhadap mendiang dijalankan berdasarkan laporan khusus, keterangan dan bukti serta mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang,” katanya.

Kim melahirkan kekesalan terhadap pemergian Lee dan mengucapkan takziah kepada keluarga.

Lee membuat tiga kemunculan umum sejak Oktober, kali terakhir selama 19 jam dan meninggalkan balai polis pada malam Krismas.

Lee, 48 yang memegang watak patriak kaya di dalam filem 'Parasite' yang memenangi Oscar ditemukan meninggal dunia disyaki membunuh diri pada Rabu.

Kematian pelakon berkenaan meraih simpati daripada penggiat industri filem dan orang ramai selain persoalan berhubung siasatan yang keras daripada pihak berkuasa sehingga mendorong kepada liputan melampau media terhadap kehidupan peribadi mendiang.

Rakan sekerja industri perfileman melawat tugu peringatan yang didirikan di tempat lee ditemui meninggal dunia, termasuk pengarah "Parasite" Bong Joon-ho dan pelakon siri hit Netflix "Squid Game",Lee Jung-jae.

Bekas Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, yang merupakan seorang peguam hak asasi manusia sebelum memasuki politik, adalah antara mereka yang mengkritik amalan polis dan laporan media yang mensensasikan kes berkenaan.

"Amalan yang merosakkan kehormatan dan peribadi seseorang, seperti meletakkan mereka secara berlebihan di media, dan mendorong mereka untuk mengambil pilihan yang melampau kini mesti berakhir," kata Moon di Facebook.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD