fb fb fb fb fb

Bot karam di Langkawi: 15 mangsa disahkan maut akibat lemas

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah / Polis Kedah

ALOR SETAR, 19 November -Seramai 15 mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand dekat Langkawi pada 9 November lepas disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Manakala punca kematian 14 lagi mangsa belum dapat dipastikan sehingga keputusan analisis makmal diperolehi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, keputusan itu diperoleh melalui proses bedah siasat terhadap kesemua 29 mayat di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB).

Beliau berkata, keadaan sebahagian mayat yang tidak sempurna menyukarkan penentuan punca kematian.

“Ketidakpastian ini disebabkan pelbagai faktor, tetapi faktor utama ialah keadaan mayat yang tidak sempurna dan sudah lama.

Semalam pukul 11 pagi, satu mesyuarat penyelarasan diadakan untuk menguruskan proses pengebumian mayat-mayat ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Tambah beliau, mesyuarat penyelarasan itu turut melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Baitulmal dan pihak hospital bagi melancarkan proses pengurusan jenazah.

Datuk Adzli memaklumkan, polis turut mengambil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan cap jari ke atas semua mayat bagi memudahkan pengecaman sekiranya waris tampil kemudian.

Kesemua mangsa terdiri daripada 15 lelaki, 9 wanita, 2 kanak-kanak lelaki dan 3 kanak-kanak perempuan.

"Semua mayat dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena, pada hujung bulan depan," ujarnya.

Selain 29 kematian setakat semalam, seramai 14 mangsa terselamat, terdiri daripada etnik Rohingya dan Bangladesh.

Mereka telah ditahan bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di sempadan perairan Malaysia–Thailand ditamatkan pada pukul 6.30 petang, Isnin selepas sembilan hari pencarian.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN