ALOR SETAR, 19 November -Sejumlah RM6.84 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah bagi melaksanakan kerja pemeliharaan serta pemuliharaan sungai di seluruh negeri tahun ini.
Peruntukan tersebut merangkumi 33 projek yang telah dan sedang dilaksanakan bagi mengatasi serta mengurangkan risiko banjir.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto berkata, daripada jumlah itu, RM5.26 juta disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan 27 projek.
Manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM1.58 juta untuk enam projek.
"Projek jangka pendek merangkumi kerja kawalan hakisan, penstabilan tebing sungai, pengorekan enapan bagi mengekalkan kapasiti aliran, serta pembersihan koridor sungai.
JPS komited memastikan langkah mitigasi banjir berjalan berkesan menjelang Monsun Timur Laut (MTL)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, JPS turut memastikan semua stesen pemantauan banjir beroperasi sepenuhnya bagi membolehkan maklumat disalurkan kepada orang ramai dengan segera.
"Selain itu, stesen siren amaran banjir yang dibangunkan di kawasan ‘hotspot’ banjir terus berfungsi memberi amaran awal kepada penduduk," ujarnya lagi.
Beliau memaklumkan, sebanyak 119 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir di Kedah bagi tahun 2025.
MTL 2025/2026 bermula pada 13 November lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.