ADDIS ABABA 19 November - Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya untuk membuka laluan baharu bagi perdagangan, pelaburan dan kemakmuran bersama, bukan sahaja dengan Ethiopia tetapi juga dengan seluruh benua Afrika.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perubahan pantas dan kompleks yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan cabaran berkaitan iklim telah menunjukkan betapa pentingnya rakan yang boleh dipercayai.
“Sekarang adalah masa untuk negara-negara berganding bahu mempertahankan kestabilan,menggalakkan pasaran terbuka dan mengejar pertumbuhan yang inklusif serta mampan.
“Ethiopia dan Afrika secara keseluruhan, bukan sekadar rakan bagi Malaysia atau Asia Tenggara, tetapi rakan strategik dalam dunia yang berubah pantas,” katanya pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Ethiopia pada Rabu, di sini.
Datuk Seri Anwar berkata, penglibatan ekonomi Malaysia dengan Afrika telah berkembang secara beransur-ansur sepanjang tahun, merangkumi infrastruktur telekomunikasi, perkhidmatan penerbangan, pendidikan, pertanian dan tenaga.
“Reformasi Ethiopia, aspirasi logistiknya, serta tenaga kerja muda dan dinamik menyediakan asas kukuh untuk kerjasama yang lebih mendalam.
“Kami melihat potensi sebenar dalam sektor berdaya tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh baharu agroindustri, pembangunan infrastruktur dan kewangan Islam.
Beliau berkata agenda transformasi Malaysia yang dipacu oleh Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 meletakkan kelestarian sebagai teras pembangunan negara.