KUALA LUMPUR, 28 November - Waris kepada lelaki yang maut dalam insiden kepala air berhampiran Pintasan Saloma disahkan layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut kenyataan PERKESO, mendiang Suresh Kamalanathan, 37, yang bekerja sebagai penyelia di syarikat kontraktor Palladium Builders Sdn. Bhd., merupakan pencarum bawah skim LINDUNG Pekerja melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Rekod menunjukkan caruman terakhir dibuat pada April 2025.
"Susulan itu, PERKESO menghubungi majikan dan tindakan segera diambil bagi melunaskan caruman tertunggak mendiang dari Mei hingga Oktober 2025, yang diselesaikan sepenuhnya pada 18 November lalu. Langkah tersebut mengekalkan status mendiang sebagai pencarum aktif dan memastikan warisnya layak menerima perlindungan penuh.
"Waris mendiang, iaitu isterinya Shalini Devi A Prupakaran, 31, dan anak mereka berusia enam tahun, Pratezwaran, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) mengikut syer masing-masing, berjumlah RM2,655 sebulan, selain Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar," menurut kenyataan PERKESO.
Sebelum ini, media melaporkan mendiang dihanyutkan arus ketika cuba mengalihkan sebuah kenderaan di bawah jambatan selepas menyedari kehadiran kepala air pada kira-kira pukul 5.40 petang, 17 November lalu. Seramai 12 pekerja lain yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri, manakala mayat mendiang ditemukan empat hari kemudian, kira-kira 45 kilometer dari lokasi kejadian.