
KUALA LUMPUR 17 Januari – Warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diseru untuk mengibarkan Bendera Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari ini sebagai simbol komitmen terhadap masa depan bersama.
- Kerajaan menyeru warga Wilayah Persekutuan mengibarkan bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.
- Kempen bertujuan menzahirkan tanggungjawab dan akauntabiliti untuk menjadikan wilayah selamat, inklusif dan berdaya tahan.
- Kempen Kibar Bendera berjalan dari hari ini sehingga 28 Februari untuk menyemarakkan semangat patriotisme.
- Sebanyak 73,500 bendera diedarkan dan dipasang di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, melibatkan pemasangan di komuniti dan kawasan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kempen mengibarkan bendera itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna tanggungjawab dan akauntabiliti setiap individu dalam memastikan Wilayah Persekutuan kekal sebagai tempat yang selamat, inklusif dan berdaya tahan untuk didiami serta bekerja.
“Kita mesti mempunyai agenda atau moto sendiri ketika bekerja atau menetap di Kuala Lumpur. Bagi saya, moto saya kini adalah menjadikan Wilayah Persekutuan tempat yang selamat untuk bekerja, selamat untuk beriadah, serta menyeronokkan untuk didiami dan dikunjungi.
“Jadi, pada hari ini, saya menyeru kepada semua, sama ada anda penduduk atau wakil komuniti supaya apabila mengibarkan Bendera Wilayah Persekutuan menjelang 1 Februari ini, masing-masing menyatakan komitmen sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Taman Tasik Manjalara di sini hari ini.
Kempen kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang bermula hari ini hingga 28 Februari bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk semangat rasa cinta terhadap Wilayah Persekutuan.
Sebanyak 73,500 bendera dikibarkan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan 41,000 bendera diedarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada komuniti di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam di sekitar ibu kota, selain turut dipasang di jalan protokol, kawasan rekreasi, taman-taman awam termasuk bangunan kelolaan DBKL.
Di Putrajaya, sebanyak 20,000 bendera menghiasai jalan protokol, taman awam, kuarters kerajaan, sekolah dan kawasan awam.
Manakala di Labuan, 12,500 bendera berkibar di seluruh pulau itu termasuk di 27 kampung; mencerminkan penglibatan aktiviti komuniti setempat.