IPOH, 15 Februari- Seorang wanita ditemukan maut dalam tandas yang berkunci di sebuah rumah di Taman Yuk Kwan dekat Batu Gajah pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan oleh suami mangsa pada 9.33 pagi.
Beliau berkata pihak bomba telah menggerakkan sebuah jentera bersama empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bomba kemudian memotong kunci pintu tandas menggunakan peralatan khas.
"Pihak kami mendapati mangsa yang berusia 44 tahun terbaring kaku dalam tandas dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 9.46 pagi.- BERNAMA