KUALA LUMPUR, 10 Julai -Usaha berterusan sedang dipergiat bagi memperkasa wanita dalam ekonomi digital agar mereka dapat bersaing secara setara dengan usahawan lelaki
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini terutama mempertingkat inisiatif serta membuka peluang pelaburan dan akses pembelajaran, latihan dan peralatan berorientasikan digital.
Katanya, antaranya menerusi kolaborasi pihak awam dan swasta dalam program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); pengekodan, kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech) dan keselamatan siber.
"Maka sebab itu kita perlukan kerjasama di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk membantu wanita bangkit lagi, untuk lebih maju lagi supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih penting daripada sekarang ini sehingga dapat setanding dengan lelaki dalam banyak perkara,"katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena program Worlds Women Economic & Business Summit (WWEBS) 2025 di ibu negara.
Dalam pada itu, program Gig@Bit antara bukti perkongsian awam-swasta yang kukuh dengan rakan kongsi seperti Maxis, Shopee, Canon, dan banyak lagi untuk mengekalkan wanita sebagai pencari kerjaya dan usahawan dalam ruang digital.
"Jadi kita menggalakkan wanita bekerjasama dalam kalangan mereka dan juga sektor swasta untuk membantu.
"Dengan adanya kerjasama Awam-Swasta, ia memberi peluang kepada sektor swasta untuk menerokai keperluan wanita. Malah juga membantu mereka dari segi teknologi dan bagaimana memanfaatkan teknologi untuk tujuan pemasaran," katanya.
Dalam ucaptamanya, Datuk Seri Nancy turut menyentuh mengenai usaha memanfaatkan teknologi digital dalam pelaksanaan Rangka Kerja Industri Penjagaan, ke arah memperkukuh industri penjagaan di negara ini.
Ketika ini, ia sedang dilaksana secara berperingkat mengambilkira pelbagai aspek kebajikan di pusat-pusat penjagaan seluruh negara, termasuk menambah baik rangka kerja perundangan sedia ada.