PUTRAJAYA, 17 Julai - Program Usrah MADANI yang berlangsung di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini memberi penekanan terhadap peranan wanita dalam bidang keilmuan dan pembangunan negara.
Program itu bertujuan memperkukuh agenda MADANI dengan memberi ruang kepada pemikiran ilmiah serta menekankan peranan wanita dalam memacu pembangunan negara secara inklusif dan berteraskan nilai Islam, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Hampir 300 peserta dari KPWKM dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir ke program bertemakan "Peranan Wanita dalam Bidang Keilmuan dan Pembangunan Negara" itu.
Ia turut menampilkan penceramah antarabangsa, Syeikh Dr. Mohammad Akram Nadwi.
Usrah MADANI kali ini merupakan kolaborasi strategik antara KPWKM, PUSPANITA Cawangan KPWKM serta Pejabat Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Perdana Menteri.
Usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kefahaman terhadap isu-isu agama dan kemasyarakatan melalui pendekatan yang menyeluruh serta berpaksikan nilai-nilai ihsan, hormat dan kasih sayang seperti yang dianjurkan dalam kerangka Malaysia MADANI.
KPWKM juga sentiasa komited memperkasa wanita menerusi pelbagai dasar termasuk Dasar Sosial Negara 2030 dan Dasar Wanita Negara, serta menyediakan ekosistem inklusif yang menyokong kemajuan wanita dalam pelbagai bidang.
Majlis ilmu itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Penaung PUSPANITA Kebangsaan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail
Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hassan, dan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan, Puan Sri Maheran Jamil.