fb fb fb fb fb

Universiti tempatan perlu seiring keperluan industri - Zambry

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

BATU KAWAN, 7 Ogos – Universiti tempatan disaran memahami keperluan industri semasa dan bergerak ke arah platform yang memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan dan sektor industri, terutamanya dalam bidang teknologi tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dalam era perubahan pantas landskap pekerjaan dan kemajuan teknologi, universiti harus memainkan peranan sebagai pemangkin yang menyediakan tenaga kerja selari dengan kehendak semasa industri.

"Model kerjasama antara universiti dan industri perlu diperkukuh agar kedua-dua pihak dapat bekerja bersama dalam memastikan sistem pendidikan tinggi mampu memenuhi keperluan negara, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Inovasi dan Makmal Automasi USM-Sandisk (USM-Sandisk CiA Lab) di sini.

Pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, malah menjadikan mereka aset tambahan yang bernilai kepada negara.

"Universiti perlu menjadi nadi dalam mengenal pasti keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang yang melibatkan teknologi tinggi dan sistem pekerjaan baharu," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI