fb fb fb fb fb

UNIMAS rekod dana sumbangan RM43 juta

FOTO UNIMAS

KOTA SAMARAHAN, 5 Oktober - Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merekodkan kutipan dana sumbangan berjumlah RM43 juta dalam pelbagai bentuk bagi tempoh April 2023 hingga September tahun ini.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, jumlah berkenaan merangkumi sumbangan daripada rakan industri serta warga universiti, yang menjadi bukti komitmen dan kepercayaan pelbagai pihak terhadap universiti itu.

Beliau berkata, dana yang diterima akan dimanfaatkan bagi membantu ribuan pelajar memerlukan setiap tahun, termasuk melalui pelbagai inisiatif wakaf berimpak tinggi seperti Projek Wakaf Kesihatan.

Selain itu, UNIMAS turut menyediakan 2,000 kotak makanan sedia dimakan setiap bulan kepada pelajar kurang berkemampuan, bantuan wang saku, serta melaksanakan projek pembinaan Pusat Galeri Digital dan Konvensyen Azman Hashim bernilai RM25 juta.

“Pusat Galeri Digital dan Konvensyen ini bakal menjadi tunjang utama dalam mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UNIMAS secara digital yang dinamik dan interaktif.

Ia juga berfungsi sebagai pusat aktiviti akademik dan inovasi, termasuk penganjuran persidangan antarabangsa serta kerjasama dengan rakan industri, agensi awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Filantropi UNIMAS di Kota Samarahan hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE