fb fb fb fb fb

UNFPA, UIS & Yayasan KUIS meterai kerjasama memberdaya mangsa keganasan rumah tangga

Foto Universiti Islam Selangor

KAJANG, 26 Februari- Universiti Islam Selangor (UIS) dan Yayasan KUIS bersama Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA), Malaysia menjalin kerjasama bagi menyelamatkan mangsa keganasan rumah tangga, seterusnya membantu memberdaya keluarga menerusi pelbagai insiatif termaksuk biaya pendidikan.

Menurut kenyataan Unit Jaringan Industri dan Penyelidikan UIS, kerjasama itu membuka jalan terhadap penyelesaian inovatif melalui Program Perpetual Orange Fund dan Work Kafalah.

“Langkah intervensi ini disokong dengan pembangunan dana dan program yang bertujuan untuk menyumbang kepada keselamatan, pemulihan dan pemberdayaan individu yang terjejas oleh keganasan rumah tangga,” jelas kenyataan itu selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara UIS dan UNFPA, baru-baru ini.

Perpetual Orange Fund, kendalian bersama UNFPA Malaysia dan Yayasan KUIS, adalah program biasiswa hasil sokongan dana permulaan daripada kedua-dua pihak bertujuan menyokong pendidikan tinggi untuk anak-anak mangsa keganasan rumahtangga.

Manakala Program Work Kafalah pula adalah program kerjasama antara UNFPA Malaysia dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCEIF) di UIS, bertujuan untuk memperkasakan mangsa yang terselamat dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan.

“Ia sebagai sokongan untuk membina dan mendapatkan kembali kawalan terhadap kehidupan mereka melalui pemberdayaan ekonomi dan celik kewangan”, tulis kenyataan itu.

Pada majlis sama, turut dianjurkan forum bertajuk, “Peranan Kewangan Sosial Islam dalam Memberdayakan Mangsa Keganasan Rumah Tangga" oleh empat panel pakar iaitu Perunding Pembiayaan UNFPA Malaysia, Prof. Aishath Muneeza; Naib Presiden Operasi Perbankan Syariah Bank Rakyat, Puan Nurul Balqis; Ketua Jabatan Syariah, Affin Islamic Bank, En. Mohd Faiz Rahim dan Naib Presiden Gerakan Belia Islam Malaysia, Dr Fatin Nur Majdina Nordin.

Penganjuran forum itu amat tepat menjelang Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac ini, bertemakan 'Invest in Women:Accelerate Progress' yang memfokuskan perbincangan bagaimana infrastruktur pembiayaan sosial Islam dapat menangani cabaran dengan berkesan terhadap mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat menghadapi, memberdayakan mereka dan memastikan hak dan pilihan mangsa terselamat dan anak-anak mereka.

Sementara itu, wakil UNFPA Malaysia, Dr Asa Torkelsson dalam ucapannya menyatakan bahawa menangani keganasan berasaskan jantina memerlukan pendekatan pelbagai serampang.

“Ini adalah satu bidang utama di mana UNFPA bekerja tanpa henti dan ia adalah tepat pada masanya, memandangkan peningkatan bilangan kes keganasan rumah tangga di Selangor sebanyak 4,690, berlaku hanya dalam tempoh 2020 hingga Ogos 2023; memetik laporan Polis Diraja Malaysia.

Di seluruh dunia, UNFPA memainkan peranan terhadap lebih 150 negara dan wilayah untuk membantu dan mengurangkan keganasan yang berasaskan jantina.

Naib Canselor UIS, Datuk Prof. Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah turut menyuarakan harapan agar program kesedaran mengenai pemberdayaan mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat ini akan membawa impak positif kepada kehidupan mereka, seterusnya mampu berdikari dari segi kewangan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, yang menyampaikan ucapan perasmian bagi pihak Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

ROSLINA BINTI DIN