ALOR GAJAH, 7 Oktober- Sasaran negara untuk mengeksport buah durian segar ke China dapat direalisasikan sekiranya mendapat kelulusan General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).
Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Nor Sam Alwi berkata, pihaknya berharap kelulusan itu dapat diperoleh menjelang ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China pada tahun depan.
Fokus pengeskportan adalah kepada durian Musang King yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.
"Kita amat berharap supaya protokol durian segar ini dapat diluluskan dengan segera, di mana adanya pelbagai bentuk durian yang boleh dieksport, (sekali gus) dapat menambahkan lagi pendapatan kepada petani kita, seterusnya membantu menjana ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di sebuah kebun durian di sini.
Nor Sam berkata, pengusaha durian di Malaysia sentiasa bersedia, sekiranya menerima kelulusan daripada GACC untuk mengeksport buah durian segar.
Setakat ini, Malaysia hanya mengeksport buah durian sejuk beku, bentuk isi (pulp) dan pes ke China.
(Nor Sam Alwi (kiri) dalam lawatan kerja di sebuah kebun durian di Alor Gajah, Melaka)