fb fb fb fb fb

UiTM bakal terima 10 unit peranti satelit Starlink dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 23 Julai - Beberapa kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menerima 10 unit peranti satelit Starlink dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penyerahan peranti satelit Starlink itu akan diserahkan kepada kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan dalam masa terdekat ini.

Katanya, itu merupakan usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan Internet di setiap cawangan kampus UiTM selepas melakukan perbincangan bersama Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Janor.

"Saya harap dalam minggu ini, kita akan terima sekurang-kurangnya 10 unit Starlink dan saya akan bincang dengan Pejabat Perdana Menteri untuk proses penyerahan.

"Ketika Perdana Menteri menyebut tentang penyelesaian Internet dengan menggunakan Starlink, saya percaya ada beberapa kampusnya yang mungkin boleh memanfaatkan penggunaan peranti ini terutama di Kuala Pilah, Perak, Tawau dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau capaian Internet di UiTM Shah Alam hari ini.

Baru-baru ini Fahmi telah menyerahkan Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian kepada wakil Starlink dalam usaha kerajaan untuk kawasan berpenduduk mempunyai akses Internet 100 peratus.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas serta pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar dilaporkan berkata, perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, baru-baru ini.


ARTIKEL BERKAITAN:
Perkhidmatan Starlink bermula dengan IPT, sekolah di pedalaman
Anwar, Elon Musk adakan pertemuan maya, bincang perkhidmatan satelit Starlink
Pelancaran satelit Starlink cetus fenomena cahaya

Media Baharu