fb fb fb fb fb

NADMA gesa penduduk terjejas banjir daftar di PPS, lengkapkan MyIBJKM untuk BWI RM1,000

FOTO Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri

KANGAR, 27 November - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa penduduk terjejas banjir di seluruh negara mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat pemindahan sementara (PPS) serta melengkapkan maklumat dalam aplikasi MyIBJKM bagi memastikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 disalurkan dengan cepat dan teratur.

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim, berkata pendaftaran rasmi dengan JKM di PPS merupakan syarat utama sebelum bantuan disalurkan kepada ketua isi rumah (KIR) dan memudahkan proses verifikasi maklumat melalui sistem JKM.

"Bantuan ini turut diberikan kepada penduduk terjejas yang tidak berpindah ke PPS, namun mereka tetap perlu mendaftar dengan JKM dan dalam aplikasi MyIBJKM.

"Pembayaran bantuan akan dibuat melalui dua kaedah iaitu pindahan wang elektronik (ETF) kepada penerima yang mengemas kini akaun bank melalui MyIBJKM, atau secara tunai di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tiada akaun. Penerima akan menerima notifikasi melalui SMS mengenai kaedah pembayaran," katanya.

Meor Ismail turut menasihati penduduk terjejas yang mempunyai anak kecil, warga emas atau ahli keluarga berisiko tinggi supaya berpindah ke PPS demi keselamatan, sambil memastikan pergerakan kanak-kanak dipantau sepanjang berada di pusat pemindahan.

Mengenai situasi banjir di Perlis, beliau berkata keadaan terkawal walaupun hujan berterusan. NADMA memastikan semua agensi bersiap siaga dan koordinasi berjalan lancar, berharap keadaan segera pulih dan jumlah mangsa semakin berkurang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE