KUALA LUMPUR, 3 Februari- Kawalan di pintu masuk utama negara dapat dipertingkatkan menerusi Agensi Kawalan Perlindungan dan Sempadan (AKPS).
Pakar Jenayah dan Kriminologi Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berpendapat perkara itu sekali gus dapat mengurangkan ancaman jenayah rentas sempadan.
Langkah tu dilihat dapat memperkukuh keselamatan negara dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan bawah satu bumbung.
"Agensi yang ditubukan ini amat baik sekali kerana negara lain seperti Eropah, Amerika, Mexico, New Zealand, Australia dan Singapura telah lama menubuhkan agensi kawalan sempadan.
"Jadi ini merupakan satu contoh yang baik dan kita percaya agensi ini akan melakukan tugas yang cemerlang untuk membanteras segala usaha rentas sempadan penyeludupan serta pemerdagangan manusia," katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mazlan Che Soh pula berpandangan AKPS akan mengurangkan pertindihan fungsi antara pelbagai agensi.
Sebelum ini semua agensi bertindak secara berasingan, dengan adanya entiti khusus bagi mengawal selia keselamatan di pintu masuk negara, tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih pantas, sistematik dan berkesan.
"Kita akan dapat menggembleng lebih banyak teknologi-teknologi lebih canggih yang untuk pemantauan dan pencegahan jenayah sempadan berbanding sistem sedia ada.
"Sistem lama mungkin tidak begitu efisien sebab dilakukan oleh pelbagai jenis agensi secara berasingan. Jadi saya percaya bahawa dengan AKPS, ini merupakan sesuatu yang amat signifikan supaya penjelasan peranan dan tanggungjawab dapat kita lakukan dengan lebih teratur," katanya.
Pada masa sama penyelarasan peranan dan tanggungjawab melalui AKPS akan memperkukuh perkongsian data antara agensi.
Antara pegawai dan anggota yang diserap dalam AKPS terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menekankan bahawa AKPS merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan pintu masuk utama dikawal dengan lebih sistematik dan berkesan.