fb fb fb fb fb

KKD sasar 470 menara 5G di Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 23 Julai - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyasarkan untuk membangunkan 470 menara 5G di Pulau Pinang, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Beliau berkata sehingga setakat ini pelaksanaan rangkaian 5G telah siap dibina sebanyak 290 di kawasan berpenduduk (COPA).

"Rangkaian 5G di Pulau Pinang akan melebihi 80 peratus menjelang hujung tahun ini dan setakat ini sebanyak 244 menara telah beroperasi dan pencapaian perkhidmatan 5G di negeri ini mencapai 67.6 peratus," katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka@Komuniti Parlimen Bagan di sini, hari ini.

Katanya Pulau Pinang kini mendahului purata capaian 5G iaitu mengatasi sasaran nasional sebanyak 64.7 peratus.

Hadir sama dalam program itu ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Teo berkata setakat ini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mewujudkan 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara dan tiga daripada pusat itu terletak di Pulau Pinang.

Inisiatif PEDi adalah menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar.

Pelaksanaan PEDi juga memberi peluang kepada masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan teknologi komputer.

Ia bertujuan memberi kemahiran kepada usahawan untuk menceburi perniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.

"Hasrat kami adalah untuk membangunkan satu PEDi di setiap DUN dan di Pulau Pinang akan ada lebih kurang 38 PEDi. Kami sedang dalam proses tender dan semua PEDi di Pulau Pinang dijangka akan mula beroperasi pada Februari tahun depan," kata Teo.

(Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching ketika berada di Program Merdeka@Komuniti Parlimen Bagan hari ini)

Media Baharu