fb fb fb fb fb

PM umum imbuhan tetap kepada penjawat awam seminggu dua lagi

(Anwar Ibrahim)

KUBANG KERIAN, 23 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu hadapan.

"Seperti mana yang saya sebut, sedikit sebanyak penyesuaian imbuhan tetap itu akan cuba saya umumkan dalam tempoh seminggu (atau) dua minggu, insya-Allah," katanya.

Tambah Anwar, pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama.

Justeru, ganjaran yang adil serta munasabah akan diberikan kepada penjawat awam di Malaysia.

"Saya fikir pendekatan lama harus dirombak, itu akan dilakukan dengan skim penyelarasan gaji yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Pada 13 Julai lepas, Anwar berkata, skim gaji penjawat awam akan disaran untuk dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara.

Cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) pada 12 Ogos ini.

Sementara itu, beliau dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa sebarang proses tender untuk pelaksanaan projek besar membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disegerakan.

Anwar memberi jaminan urusan itu dapat selesai dalam masa tiga bulan.

"Kalau macam komputer dan lain-lain projek besar, saya akan pastikan kita runding dengan Kementerian Kewangan.

"Kita bagi kelonggaran ikut proses tender terhad dan disegerakan supaya boleh selesai dalam masa tiga bulan," katanya.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu