KUALA LUMPUR, 27 November - Seramai 50 wanita daripada pelbagai sektor diiktiraf sebagai penerima Women of Excellence Awards 2025 pada majlis berprestij yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, malam tadi.
Edisi kedua penganjuran anugerah itu menghimpunkan tokoh wanita dalam bidang ekonomi, profesional, komuniti, seni dan keusahawanan sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta peranan mereka dalam memacu kemajuan negara.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah, dalam ucapannya menegaskan peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan negara membuktikan kemampuan golongan itu membentuk masa depan yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.
“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dikendalikan wanita kini merangkumi 31% daripada semua PKS, dengan kira-kira 240,000 perniagaan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Perniagaan milik wanita pula menjana keuntungan kasar sebanyak RM136 bilion, satu bukti kepada pengaruh dan impak yang semakin berkembang oleh usahawan wanita dalam membentuk masa depan Malaysia”, katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengasas TOP50 Media Synergy Sdn. Bhd., Kishvin Sirinavin, berkata anugerah tersebut diwujudkan untuk mengangkat kisah perjuangan, pengorbanan, kejayaan dan keberanian wanita Malaysia diangkat ke pentas utama.
Antara penerima anugerah ialah Tan Seri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Tan Seri Michelle Yeoh, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Pandelela Rinong dan Tan Hooi Ling, mewakili kepelbagaian sumbangan wanita dalam kewangan, seni, sukan dan inovasi.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, sebelum diakhiri dengan sesi fotografi bersama semua penerima.