fb fb fb fb fb

Jurulatih ragbi B-12 Kedah maut kemalangan motosikal

FOTO ORANG AWAM

SUNGAI PETANI, 27 November - Seorang jurulatih pasukan ragbi lelaki bawah 12 tahun (B-12) Kedah maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 3.5, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan, berkata mangsa, Mohd Amirul Awang, 34, mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika mangsa, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tuan Syed Al-Jafri, menunggang motosikal dari arah Sungai Petani menghala ke Kuala Ketil.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dari arah bertentangan dikatakan membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat, manakala perintah tahanan reman terhadap pemandu pacuan empat roda itu akan dipohon esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE